Thursday 16 June 2016

INDUSTRI PELANCONGAN DI MALAYSIA




          1.0 Pengenalan

Pelancongan merupakan satu kegiatan ekonomi dan sosial yang penting sejak dekad yang lalu yang bermula di Melaka. Pelancongan juga dikatakan melibatkan pergerakan sementara manusia ke destinasi di luar kawasan tempat tinggal mahupun tempat kebiasaannya seseorang yang bekerja. Ianya melibatkan aktiviti yang dilakukan di tempat yang dituju dan kemudahan yang diwujudkan disesuatu tempat untuk kemudahan dan keperluan mereka. Pelancongan bukan sekadar melibatkan kemasukan pelancong dari luar negara sahaja, malahan juga pelancong tempatan yang bermalam di destinasi pelancongan yang sedia ada. Seperti yang kita sedia maklum, pelancongan merupakan antara industri yang terbesar dan paling menguntungkan sejak beberapa dekad yang lalu.

Sektor pelancongan bukanlah sesuatu yang baru, Jumlah pelancong yang datang daripada dalam negeri mahupun antarabangsa semakin meningkat, malah beberapa buah negara di dunia kini sedang giat memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama bagi menjana pendapatan negara. Sejak dari dulu lagi sektor pelancongan telah menjadi nadi penggerak kepada ekonomi beberapa buah negara yang membangun. Malahan, kebanyakan negara telah menggalakan pelancongan dalam negara untuk menjana pertumbuhan ekonomi dalam aspek pelancongan.
       
Sehubungan dengan itu, pelancongan dianggap sebagai satu perkara yang dapat memberikan keuntungan kepada negara dengan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara. Pelancongan dapat membantu melindungi alam sekitar, menjaga dan memulihara aspek serta warisan budaya dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. Bagaimanapun, pelancongan juga menyumbang kepada kesan yang negatif jika dibangunkan tanpa perancangan yang berkesan dan secara menyeluruh.


2.0  Tahap industri pelancongan

Jika kita teliti tahap industri pelancongan di Malaysia pada waktu dahulu dan pada masa sekarang banyak menunjukkan perbezaan walaupun negara telah mengambil pelbagai langkah drastik yang sewajarnya dalam meningkatkan perkhidmatan dan mutu pelancongan dalam negara kita. Namun keperluan yang dapat kita lihat kini adalah industri pelancongan yang pada permulaannya dahulu mengalami kemerosotan kerana terkesan oleh krisis ekonomi serantau yang telah menyebabkan ramai pelancong asing dan sumber pendapatan negara seperti kejatuhan ringgit hasil pertukaran mata wang asing negara semakin merosot. Penurunan yang ketara dalam pelancongan ini disebabkan oleh beberapa faktor yang lain antaranya ialah tekanan ekonomi dunia dan tempatan serta ketidaktentuan dalam keadaan politik semasa. Hal ini telah menyebabkan berlakunya kemerosotan yang ketara dalam aspek pelancongan.

Selain daripada itu, pembangunan yang kian pesat dalam pelancongan akan menyebabkan kejadian jenayah yang semakin berluasa di sesetengah kawasan. Kemasukan pelancong asing secara beramai-ramai telah meningkatkan kegiatan jenayah seperti aktiviti pengedaran dadah, penyeludupan manusia dan pengintipan yang boleh mengancam keselamatan dan kestabilan politik negara kita akibat daripada kemasukan mereka yang tanpa kawalan rapi daripada pihak imegresen sendiri. Sepertimana yang kita tahu, apabila terlalu ramai pelancong asing daripada luar negara yang melancong ke negara kita telah menyebabkan pelbagai masalah sosial yang berlaku. Dengan adanya peluang pekerjaan yang sebegini dapat membantu mereka dalam mengurangkan masalah sosial ini daripada berlarutan dengan menghadkan kemasukan mereka serta melalui sistem kawalan yang rapi sebelum pelancong asing dibawa masuk ke negara ini.

Selain daripada itu, industri pelancongan juga dapat mengancam kesihatan penduduk tempatan dengan cara pelancong luar yang dijangkiti oleh penyakit berbahaya dan kronik akibat kelakuan sumbang termasuklah kegiatan pelacuran. Akibat kegiatan pelacuran, penyakit seksual seperti AIDS turut menular. Pelbagai penyakit berjangkit yang dibawa masuk turut bertambah akibat pergerakan dan kebanjiran manusia, khususnya di pusat-pusat pelancongan. Oleh hal yang demikian telah menyebabkan pelancongan di negara kita telah merosot.

Akibat kemerosotan daripada sektor pelancongan, kerajaan tidak berdiam diri dengan membiarkan perkara ini berlarutan. Jika dibiar serius, pendapatan negara akan menurun. Oleh hal yang demikian, Kini sektor pelancongan di negara ini giat memajukan beberapa aspek yang berkaitan dengan keperluan industri ini supaya dipandang tinggi dan menjadi negara contoh kepada negara lain. Umpamanya ialah dengan mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja dalam sektor ini melalui latihan tenaga kerja yang ramai sangat diperlukan bagi meneliti dan mempromosikan sektor-sektor pelancongan yang ada di negara ini. Ianya sangat diperlukan dalam pembangunan produk pelancongan seperti mempromosikan Malaysia sebagai destinasi peranginan bukit dan pulau, destinasi membeli-belah, dan upacara-upacara bertema yang semestinya dapat menarik minat ramai pelancong untuk berkunjung di negara ini. Dengan adanya promosi yang dijalankan ini dapat membantu meningkatkan kefahaman mereka dalam meneliti dan dalam membuat pilihan yang terbaik.

Selain itu, Promosi juga giat dijalankan untuk pelancongan sukan dan rekreasi, pelancongan ekologi, pelancongan pertanian dan program tinggal di rumah ibubapa angkat, pelancongan budaya dan warisan, dan pelancongan pendidikan serta kesihatan. Dengan adanya sektor pelancongan ini mampu mempamerkan bahawa negara kita kaya dengan pelbagai corak kehidupan serta pendedahan dan maklumat mengenai pelancongan. Malahan pihak kerajaan dan sektor swasta juga perlu mengambil langkah dalam mempertingkatkan kemampuan negara sebagai destinasi pameran, mesyuarat dan persidangan melalui pelbagai insentif (Malaysia 2001).



3.0 Kepentingan dan sumbangan industri pelancongan terhadap pembangunan ekonomi negara

Industri pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang semakin penting terutamanya terhadap pembangunan ekonomi negara. Jumlah pelancong dalam negeri dan antarabangsa semakin meningkat malah, beberapa buah negara di dunia kini memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang menjana pendapatan negara. Akibat daripada industri pelancongan ini telah mengakibatkan negara kita telah berkembang maju dan dipandang tinggi oleh negara serantaunya.

3.1.1 Menjana Pendapatan Negara

Pelancongan antara sumber utama dalam aktiviti menjadi tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, pelaburan dan guna tenaga. Kedatangan pelancong kian meningkat sejumlah 16.4 juta pada tahun 2005 telah menyumbang sebanyak RM 18.1 bilion kepada pendapatan negara. Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah dipengaruhi oleh perubahan yang besar akibat globalisasi dan menjadi potensi industri pelancongan pada masa hadapan. Memandangkan industri pelancongan kini merupakan satu pemangkin kepada pendapatan negara, maka satu pendekatan dilaksanakan oleh kerajaan dalam perancangan dan perlaksanaan industri pelancongan secara mampan.

Sungguhpun begitu, industri pelancongan masih belum merupakan satu industri yang maju. Bagaimanapun, selepas kejayaan kempen dan program yang dilancarkan seperti Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, sumbangan sektor pelancongan ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kian terus meningkat saban tahun malahan peningkatan ini telah membantu sedikit sebanyak dalam pendapatan negara. Selain itu, sumbangannya ini masih terus mengalami peningkatan walaupun pernah dilanda masalah kegawatan ekonomi pada tahun 1997/1998. Pada tahun 2000 ketibaan pelancong ke Malaysia buat kalinya pertama kalinya mencecah lebih 10 juta orang dengan pendapatan negara daripada sektor ini pada tahun tersebut sejumlah lebih RM 17.3 bilion. Pada 2008 terdapat sejumlah RM 22 juta pelancong yang melawat Malaysia dengan merekodkan pendapatan negara melebihi RM 49 bilion.
        
Seiring dengan negara-negara membangun yang lain, kerajaan Malaysia tidak ketinggalan dan menjadikan industri pelancongan ini sebagai peluang bagi membuka mata masyarakat setempat dan pelancong luar negara untuk mendalami dan merasai sendiri keunikan aktiviti-aktiviti luar bandar yang istimewa serta keenakan buah-buahan tempatan. Hal ini menyebabkan pergerakan IKS di Malaysia semakin di minati oleh golongan belia apabila tarikan pelancongan terhadap sesuatu produk. Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan apabila kita melancong ke Malaysia seperti riadah contohnya, berkhemah, memancing, merentas hutan, berkayak, berbasikal, aktiviti Paintball dan Skytrex Adventure. Terdapat juga Chalet dan rumah-rumah penginapan juga ada disediakan bagi kemudahan pengunjung yang ingin bermalam.

Selain itu juga, tarikan pelancong kepada Malaysia telah memberikan input kepada kerajaan dalam pembukaan tempat yang baru dan menjadi potensi pada masa hadapan. Terdapat lebih daripada 100 tempat lagi di seluruh Malaysia yang menyediakan aktiviti agro pelancongan ini, antaranya Ladang Nipah Kipli, Kuala Sangklang yang terletak di negeri Perlis, Taman Agro Teknologi Mardi di Langkawi Kedah, Pusat Memproses Madu Lebah FAMA di Kuala Nerang, Kedah, Taman Agro Teknologi Mardi di Cameron Highlands Pahang, Pusat Penerangan dan Santuari Penyu di Cherating, Pahang dan Taman Pertanian di Sabah. Dengan kewujudan tempat yang baharu, kerajaan juga telah melakukan kempen dan promosi seperti promosi potongan harga tambang kapal terbang, promosi Penyewaan Chalet, Hotel dan sebainya. Ini salah satu imput yang berkesan untuk menaqrik ramai lagi pelacong sama ada dalam dan luar negara datang ke Malaysia.

3.1.2 Menambahkan Peluang Pekerjaan Di Negara Kita

Selain daripada menjana pendapatan negara, antara sumbangan lain yang dapat dilihat dalam Industri pelancongan ini ialah dapat menambahkan peluang pekerjaan di negara kita. Akibat daripada ramai lepasan universiti yang menggangur, kerajaan telah membuka peluang pekerjaan kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam bidang pelancongan ini. Kepakaran yang ada dalam diri mereka dapat dipraktikkan dengan adanya peluang yang sebegini. Hal ini dapat dipertingkatkan menerusi pelbagai perusahaan yang berkaitan dengan industri pelancongan dibuka dan memerlukan lebih ramai pekerja bagi memudahkan segala urusan dijalankan. Hal ini secara langsung memberi pelbagai peluang pekerjaan dan dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran di negara kita yang semakin meningkat dari setahun ke setahun. Di samping itu, terdapat juga pembukaan tempat yang baru khususnya IKs seperti di Johor yang menjadi tarikann pelancong apabila menjadi pengeluaran barangan dan makanan yang terbesar di negeri Johor.

Selain itu, dengan adanya peluang pekerjaan yang disediakan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengikis atau mengurangkan masalah sosial di negara kita. Masalah sosial yang semakin berlarutan seperti melepak, merempit, membuli juga telah mencemarkan imej negara apabila pelancong luar yang ke negara kita. Oleh yang demikian, dengan adanya peluang pekerjaan ini dapat memberikan kesedaran kepada mereka dan mampu mengurangkan masalah sosial dan memperbaiki imej negara kita. Antara contohnya pembukaan tempat-tempat yang baru akan menyebabkan pengambilan pekerja baru untuk mengisi kekosongan tersebut. Dengan itu, anak mudah akan membantu dalam pergerakan matawang negara apabila mereka berbelanja dalam aktiviti harian. Namun, pembukaan peluang pekerjaan kadang kala bukan terdiri daripada warga tematan mahal warga dari negara luar.

3.1.3 Mengeratkan Kesefahaman Dan Hubungan Diplomatik Di Peringkat Antarabangsa
Dengan kehadiran pelancong asing yang semakin meningkat dari setahun ke setahun telah menyebabkan aliran pelancong dari luar dan tempatan mengeratkan kesefahaman dan hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa. Hal ini sangat penting dengan menjaga nama baik negara kita dan kemasukan pelancong asing secara tidak langsung dapat membantu hubungan diplomatik antara negara serantau. Antara kebaikan menjalin hubungan baik dengan negara serantau termasuklah menjamin kestabilan politik negara kita. Hal ini demikian, rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni jika politik di negara Malaysia stabil. Penubuhan negara ASEAN dapat menjamin kedaulatan negara-negara serantau.hubunga diplomatik amat penting bagi negara negara yang sedang mambangun supaya dapat memabantu sama lain ke arah mencapai negara maju.
                 
Hubungan persaudaraan yang terjalin membantu menjamin kedamaian dunia daripada berlaku perkara yang negatif seperti pencerobohan daripada negara jiran. Negara yang terlibat seperti Malaysia dan Brunei dan Indonesia yang sering berlaku pencerobohan. Hal ini sedikit sebanyak akan menjejaskan hubungan antara kedua buah pihak jika hubungan persaudaraan ini tidak dijaga. Pelancong tempatan juga dapat menjalinkan hubungan dan kesefahaman yang lebih erat. Hal ini penting untuk bersama-sama bertukar pendapat dan idea mengenai negara masing-masing. Justeru, semua negara di dunia perlulah menjalin hubungan yang baik demi kebaikan dan kepentingan bersama. Negara Malaysia telah menjalinkan dan mengeratkan hubungannya dengan negara-negara serantau untuk mengembang dan memajukan ekonomi serta teknologi negara. Hubungan Malaysia dengan negara lain telah dipereratkan lagi berdasarkan peningkatan kerjasama dua hala dalam semua bidang termasuklah bidang politik, perdagangan dan pelancongan.

4.0 Halangan Dan Cabaran Industri Pelancongan Di Malaysia

Sektor perkhidmatan perlancongan banyak menyumbang kepada sumber pendapatan negara berbanding sektor utama iaitu bahan mentah, sektor pertanian dan sektor pembuatan iaitu perindustrian. Sejak kebangkitan arus globalisasi dunia, industri pelancongan di Malaysia kurang memberangsangkan dan tidak dikenali di serantau antarabangsa. Oleh itu, terdapat beberapa halangan dan cabaran kepada industri pelancongan di Malaysia iaitu Malaysia perlu bersaing dengan negara lain untuk mempromosikan industri pelancongan, kebudayaan tempatan yang berbeza dengan budaya pelancong, ketidakstabilan politik di Malaysia dan berlaku pencemaran alam sekitar dan tragedi buruk yang menimpa Malaysia.

4.1 Malaysia terpaksa bersaing dengan negara lain untuk mempromosikan industri pelancongan
Malaysia merupakan negara yang sangat unik kerana mempunyai pelbagai etnik seperti etnik Melayu, etnik Cina, etnik India, etnik Orang Asli, etnik Kadazandusun dan lain-lain yang mempunyai kepelbagaian budaya tersendiri. Keunikan yang dimiliki oleh Malaysia ini menyebabkan negara lain ingin bersaing dan cuba mencari keunikan yang dimilik oleh negara mereka sendiri untuk tujuan tarikan pelancongan. Persaingan antara negara lain khususnya negara jiran seperti Indonesia dan Thailand akan mengugat pelancong asing untuk melancong ke Malaysia (Zarinaj, 2016). Hal ini demikian kerana, Indonesia dan Thailand mempunyai keunikan dan budaya yang seakan sama dengan Malaysia seperti adat tradisi kaum melayu, jenis makanan etnik cina dan India, lokasi tempat melancong yang unik dan semulajadi seperti mempunyai musim panas dan musim sejuk dan sebagainya.

Selain itu, kewujudan persaingan dari segi menghasilkan barangan buatan sendiri dengan negara Asean. Penghasilan produk yang dibuat selalunya akan dijadikan cenderamata untuk pelancong asing. Pelancong mudah tertarik dengan produk yang unik dan hak ciptanya terpelihara (Zarinaj, 2016). Malaysia menghadapai masalah dari segi penjenamaan dan hak patern untuk menghasilkan barangan kerana majoriti barang yang dihasilkan mampu dibuat dan ditiru oleh negara lain atas faktor kecekapan negara tersebut meniru produk asli Malaysia atau ciplak, harga yang tawarkan lebih murah berbanding di Malaysia dan pelancongan tidak tahu negara Malaysia itu sendiri wujud.

4.2 Budaya tempatan yang berbeza dengan budaya pelancong

Kebudayaan merupakan faktor yang sangat penting dalam sektor pelancongan kerana dapat menarik pelancong asing untuk memperlajari kebudayaan yang ada di Malaysia. Budaya yang dimilik oleh Malaysia tidak sama dengan budaya di negara lain. Sebagai contoh, kebudayaan tempatan seperti persembahan tradisional, permaianan zaman Raja Melayu, juadah aneka makanan dan banyak lagi. Sungguhpun begitu, Malaysia juga yang terdiri daripada pelbagai bangsa dann agama menjadi tarikan apabila kita dapat mencapai perpaduan dalam negara. Kekaguman pelancong luar menjadi keunikan pelancong-pelancong dari negara lain.
      
Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan penduduknya berpegang kepada nilai-nilai ketimuran dan menjaga adab sopan, kita tentunya berasa tidak senang dengan tindakan pelancong asing yang tidak menghormati budaya kita apabila bertandang ke negara kita. Terbaharu Malaysia digemparkan dengan kelakuan tidak senonoh dan jenayah yang dilakukan oleh pelancong asing dengan tindakan sepuluh pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu, Sabah (Utusan Online, 2015). Hal ini menyebabkan pandangan pelancong asing terhadap Malaysia yang tidak bebas dan susah untuk melancong telah mengurangkan kehadiran mereka ke Malaysia kerana budaya mereka yang kebaratan tidak sama dengan budaya timur yang diamalkan di Malaysia yang dianggap kolot dan ketinggalan zaman.

4.3 Ketidakstabilan politik di Malaysia

Ketidakstabilan politik di Malaysia telah menjejaskan imej negara dan kredibiliti Malaysia untuk selamat dijadikan tempat melancong semakin berkurang. Hal ini kerana terdapat isu terbaru di Malaysia iaitu berkaitan dengan kejadian pencerobohan di Lahad Datu yang tidak selamat kerana berlaku penculikan daripada puak Suku di Filipina dan kejadian pesawat MAS yang terhempas dan hilang untuk membawa penumpang untuk ke Malaysia telah menguatkan bukti bahawa Malaysia merupakan negara yang tidak selamat dan tidak aman dikunjungi (Musalmah Johan, 2015).
              
Permasalahan ketidakstabilan politik di Malaysia akan menyebabkan pelancong asing tidak berani pergi untuk melancong ke Malaysia atas faktor keselamatan diri semasa melancong (Zarinaj, 2016). Keadaan ini menyebabkan terdapat tanggapan pelancong asing yang tidak suka untuk melancong ke Malaysia lantas akan memberitahu kepada rakan di negara mereka bahawa Malaysia negara peperangan dan mempunyai peristiwa hitam. Oleh itu, politik yang tidak stabil menyebabkan tanggapan pelacongan asing bahawa Malaysia negara yang tidak sesuai untuk melancong.

4.4 Berlaku pencemaran alam sekitar dan tragedi buruk yang menimpa Malaysia

Pencemaran alam sekitar mengundang pelbagai penyakit berbahaya kepada kita dan pelancong asing. Sebagai contoh, wabak H1N1, selsema burung, Aedes dan banyak lagi. Hal ini disebabkan sikap manusia yang tidak bertanggungjawab seperti pembalakan haram yang berlaku menyebabkan kerosakkan terhadap keindahan dan kecantikkan alam semulajadi di negara kita. Apabila keindahan alam sekitar dicemari, menyebabkan sektor pelancongan di negara kita akan terjejas ekoran daripada pelancong asing yang tidak mahu datang ke Malaysia (Habibah Ahmad, 1994).  Hal ini demikian kerana, faktor kehadiran pelancong asing ke Malaysia adalah kerana ingin menikmati persekitaran yang cantik dan bersih.
Tragedi buruk yang menimpa Malaysia disebabkan oleh kehilangan pesawat MH370 dan kemalangan keatas pesawat MH17 pada tahun 2014. Keadaan ini sedikit sebanyak telah menjejaskan industri pelancongan negara. Peristiwa misteri kehilangan pesawat MH370 menyebabkan jumlah ketibaan pelancong dari negara China berkurang kerana kepercayaan pelancong asing dari Negara China telah merosot (Musalmah Johan, 2015). Keadaan ini dibuktikan dengan ramai pelancong China kerana telah membatalkan percutian mereka ke Malaysia dan kekerapan penerbangan dari China ke Malaysia juga semakin berkurang.




5.0 Sistem Sokongan Oleh Pihak Kerajaan Dan Swasta Yang Ditawarkan Untuk Pembangunan Industri Pelancongan Di Malaysia

Pihak kerajaan dan sektor swasta perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk mempromosikan Malaysia sebagai negara pelancongan. Malaysia yang menuju ke Wawasan 2020, pihak kerajaan dan swasta perlu lebih giat lagi dalam membangunkan industri pelancongan. Oleh itu, terdapat beberapa sistem sokongan oleh pihak kerajaan dan swasta yang telah ditawarkan untuk pembangunan industri pelancongan seperti mewujudkan tabung pembangunan insfrastruktur pelancongan dan insentif kemudahan penerbangan dan melalui tindakan kerajaan melalui Dasar Pelancongan Negara.

5.1 Mewujudkan tabung pembangunan Infrastruktur Pelancongan dan insentif kemudahan penerbangan
Tabung pembangunan infrastuktur merupakan satu skim kemudahan untuk pembiayaan pinjaman dana pelancongan yang bertujuan untuk membantu pengusaha yang ingin membangunkan dan mengembangkan produk-produk pelancongan (Zarinaj, 2016). Hal ini demikian kerana, kos untuk menghasilkan satu produk khususnya untuk tujuan pelancongan sangat mahal dan memerlukan kos yang besar kerana terdapat sesetengah produk perlu menggunakan teknologi yang canggih untuk pemprosesan setiap produk itu.

Selain itu, kerajaan telah mengecualikan cukai bagi syarikat pengusaha pelancongan yang menawarkan pakej pelancongan dengan membawa pelancong asing ke Malaysia dengan bilangan yang ditetapkan (Zarinaj, 2016). Tindakan kerajaan ini menyebabkan syarikat pelancongan tidak perlu mengeluarkan modal dan menanggung bebanan pembiayaan yang besar. Hal ini kerana, setiap pakej pelancongan yang ditawarkan, syarikat terpaksa menanggung rugi kerana purata harga untuk memastikan tempat pelancongan dan destinasi yang menarik serta jaminan insurans terpaksa ditanggung separuh daripada harga sebenar dan kepuasan pelancongan merupakan satu objektif syarikat pelancongan.

Sektor swasta juga menawarkan insentif kemudahan penerbangan melalui Syarikat Penerbangan Air Asia  di mana Air Asia telah menawarkan pakej tambang murah kepada para pelancong tempatan dan pelancong asing yang hendak menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara (Pelan Struktur Kuala Lumpur, 2011).

Hal ini sekaligus dapat membantu kerajaan untuk mempromosikan negara dengan meletakkan imej-imej menarik yang terdapat di Malaysia pada badan kapal terbang untuk menarik pelancong.




5.2 Tindakan kerajaan melalui Dasar Pelancongan Negara
Dasar Pelancongan Negara diperkenalkan dengan mewujudkan “Kempen Tahun Melawat Malaysia” dan “Malaysian Kempen” yang bertujuan untuk menggalakkan pelancong asing untuk datang ke negara Malaysia dengan memperkenalkan kebudayaan tradisi pelbagai etnik, kepelbagaian makanan, permainan warisan seperti wau dan congkak dan banyak lagi (Pelan Struktur Kuala Lumpur, 2011). Dengan usaha kerajaan bersama sektor swasta ini dapat memperkenalkan Malaysia kepada negara lain bahawa Malaysia mempunyai keunikan yang tidak ada di negara lain di samping nilai ketimuran sopan santunnya yang diamalkan dapat menarik pelancong asing ke Malaysia.

Apabila ramai pelancong asing datang ke Malaysia, hasil dan pendapatan Malaysia meningkat dan penawaran nilai mata wang negara Ringgit juga meningkat. Keadaan ini boleh menyumbang kepada kemajuan Malaysia dengan lebih giat dengan pelaksanaan kerajaan bersama sektor swasta untuk meningkatkan lagi imej pelancongan Malaysia.


6.0 Langkah-Langkah Untuk Mendorong Dan Membangunkan Industri Pelancongan Di Malaysia

Bagi mendorong perkembangan industri pelancongan di Malaysia, pelbagai langkah perlu diatur dalam memastikan segala aspek berada dibawah pemantauan Kerajaan supaya segala pemasalahan dapat diatasi dengan baik. Antara langkah-langkahnya adalah:



6.1 Meningkatkan dan memperkukuhkan prasarana bertaraf kelas pertama
            Dalam menjadikan Malaysia sebagai negara tumpuan pelancong pihak kerajaan perlu memperlengkapkan kemudahan dan prasarana seperti sistem pengangkutan terutamanya. Hal ini kerana, kemudahan pengangkutan merupakan faktor utama dalam memastikan pelancong dalam keadaan selesa untuk berkunjung ke tempat yang ditujui. Misalnya, kebanyakkan pelancong yang datang ke Malaysia adalah untuk menikmati keindahan pantai dan pulau. Oleh itu, kerajaan harus menambah kemudahan perkhidmatan bot dan feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmatinya. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kemudahan yang baik akan memudahkan para pelancong menelusuri dari satu destinasi pelancongan ke satu destinasi pelancongan yang lain dan dapat membangunkan industri ini. 
                            
            Selain itu juga, kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, tandas, bekalan elektrik adalah penting untuk diperkemaskan kerana hal ini akan menentukan sama ada pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap, ia akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaaan hotel dan rumah penginapan yang kian banyak di kawasan bandar dan desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu. Masalah tandas yang terhad dan berbau kurang enak selain bekalan elektrik yang kerap meragam perlu diatasi. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke Malaysia. Tegasnya, keselesaan pelancong ketika menginap di negara kita perlu dititikberatkan agar industri ini kian berkembang.

6.2 Mengadakan penguatkuasaan dan keselamatan yang lebih ketat di sempadan Malaysia
Langkah keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia sangat penting untuk menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancongsama ada pelancong asing mahupun pelancong tempatan semasa berada di negara kita (Adzlin Natasha, 2011). Hal ini demikian kerana faktor kawalan keselamatan yang terjamin di sesuatu destinasi pelancongan sering menjadi kayu pengukur untuk mereka datang ke destinasi pelancongan yang menjadi pilihan di hati mereka. Penubuhan Unit Keselamtan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Hal ini perlu dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini. Bilangan keanggotaan pasukan keselamatan perlu ditambah supaya rondaan dapat dilakukan dengan lebih kerap di kawasan tumpuan pelancong. Oleh itu, pelancong dapat melancong di negara kita dengan lebih selesa dan sekaligus imej negara terpelihara di mata dunia.

6.3 Berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada
Terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang pelbagai. Kerajaan telah berusaha membangunkan industri pelancongan dengan mula menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Monsoon Cup, Perlumbaan Formula One, Kejohanan Badminton, Pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) dan Tour De Langkawi (Tourism Malaysia, 2015). Hal ini kerana acara sukan ini sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan.Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas.  

Kerajaan perlu memajukan sektor ekopelancongan kerana kekayaan khazanah alam semula jadi yang sememangnya terdapat di Malaysia seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO (Zarinaj, 2016).  

Kerajaan juga hendaklah menggalakkan agropelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Dengan usaha kerajaan melalui agropelancongan dapat menarik pelancong asing untuk datang ke Malaysia untuk cuba sendiri merasa kelazatan dan rasa yang unik buah-buahan seperi durian dan pemuliharaan flora alam sekitar perlu dimajukan kerana boleh dijadikan inovasi untuk perubatan. Selain itu, pengliharaan fauna juga boleh menarik minat pelancong asing untuk melihat haiwan yang hanya terdapat di Malaysia sahaja dan sekaligus Malaysia boleh mempromosikan produk pelancongan yang pelbagai dengan moto Kempen Zoom Malaysia, iaitu “Segala-galanya terdapat di Malaysia” (Adzlin Natasha, 2011).



7.0 Kesimpulan

Industri pelancongan di Malaysia merupakan menyumbangan terbesar negara kepada sumber pendapatan negara. Kerjasama daripada Badan berkepentingan seperti pihak kerajaan, sektor swasta, pihak berkuasa tempatan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat sangat penting dalam membantu membangunkan serta memperkukuhkan industri pelancongan di Malaysia agar dikenali di seantero dunia.

Malaysia mampu untuk menjadi sebuah negara destinasi pelancongan berkonsepkan hutan hujan tropika yang popular dan mempunyai potensi di rantau Asia kerana memiliki keistimewaan dari kebudayaan serta kepelbagaian etnik dan mempunyai permainan tradisional di destinasi atau melancong yang menarik dan cantik. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia seharusnya kita  perlu memberikan sokongan kepada kerajaan dan pelbagai pihak dalam usaha memajukan industri pelancongan agar negara mencapai tahap positif ibarat “dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara maju. Tindakan ini penting bagi membantu negara mencapai tahap negara maju pada tahun 2020.


8.0 Rujukan

Adzlin Natasha.(2011). Diambil pada 3 Jun 2016, daripada Langkah memajukan Industri Pelancongan Negara: http://www.academia.edu/12836915/industri pelancongan negara

Musalmah Johan. (2015). Diambil pada 3 Jun 2016, daripada Industri Pelancongan Malaysia Masih Berdaya Saing: https://www.mier.org.my/newsarticles/archives/ pdf /musalmah28 4 2015.pdf

Pelan Struktur Kuala Lumpur. (2011). Diambil pada 3 Jun 2016, daripada Pelancongan: http://www.dbkl.gov.my/pskl2020/malay/pelancongan/

Tourism Malaysia. (2015). Diambil pada 3 Jun 2016, daripada Tourism Malaysia Sasar Bawa Sektor Beli-Belah Ke Tahap Lebih Tinggi http://www.tourism.gov.my/media/ view/tourism-malaysia-sasar-bawa-sektor-beli-belah-ke-tahap-lebih-tinggi

Utusan Online. (2015). Diambil pada 3 Jun 2016, daripada Cabaran Industri Pelancongan Negara:http://www.utusan.com.my/rencana/cabaran-industri-pelancongan-negara-1.101769

Jamaluddin Md. Jahi. (2009). Pembangunan Pelancongan Dan Impaknya Terhadap Persekitaran Fizikal Pinggir Pantai. Malaysian Journal Of Environmental Manangement 10(2) (2009): 71-88

Zarinaj. (2016). Diambil pada 3 Jun 2016, daripada Industri Pelancongan:  https://industripelancongan.wordpress.com/2016/04/07/industri-pelancongn/


            

No comments:

Post a Comment

MALAYSIA TRULY ASIA